Alangkah malangnya nasib mereka yang terpaksa berhimpit..

Alangkah malangnya nasib mereka yang terpaksa berhimpit..

Thursday, October 25, 2007

Dewan dan Sekolah sebagai Pusat Petempatan Sementara

Kawasan tumpuan kajian yang dijalankan iaitu kampung Kelantan menunjukkan bahawa hampir keseluruhan penduduk tinggal di dewan-dewan sebagai petempatan sementara semasa berlaku banjir. Kebanyakan penduduk tinggal di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi, Dewan Raya Taman Kota Jaya, malah ada juga penduduk yang tinggal di Sekolah Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi. Kawasan ini dikelaskan sebagai Zon A iaitu mukim bandar.

Seperti diketahui umum, dewan dijadikan tempat petempatan sementara kerana keupayaannya yang dapat menampung sebilangan besar penduduk sesuatu kawasan malah meliputi beberapa kawasan. Dewan Jubli Intan Kota Tinggi misalnya, meliputi kawasan-kawasan seperti kawasan bandar, Kampung Tembioh, Kampung Kelantan, Kampung Panti, Taman Kuso, Taman Kemang, dan Jalan Omar. Dewan Raya Taman Kota Jaya misalnya meliputi kawasan Taman Kota Jaya, manakala Sek. Men. Agama (Arab) meliputi kawasan bandar. Dua buah pusat yang lain pula seperti Sek. Men. Keb. Laksamana dan Sek. Men. Keb. Tun Habab tidak akan digunakan sebagai pusat pemindahan banjir sekiranya banjir berlaku semasa peperiksaan SPM/STPM.

Terdapat 16 buah pusat petempatan banjir di kawasan Zon A iaitu Mukim Bandar meliputi sekolah-sekolah dan juga dewan-dewan. Had muatan penduduk adalah berbeza-beza iaitu dari 50 orang hinggalah kepada 850 penduduk. Antara jabatan atau pertubuhan sukarela yang terlibat membantu menyelenggara pusat ialah Setiausaha MDKT, pengetua, guru besar dan ketua kampung. Dewan Jubli Intan Kota Tinggi mempunyai kapasiti yang besar iaitu seramai 850 orang dalam satu dewan dan tidak hairanlah apabila boleh dikatakan hampir keseluruhan penduduk kampung Kelantan tinggal di dewan ini semasa banjir melanda.

Apabila terdapat amaran mengenai hujan dan angin kencang, antara langkah terawal yang dilakukan oleh agensi yang terlibat ialah menyediakan pusat-pusat pemindahan ini untuk digunakan serta dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada mangsa banjir. Dewan-dewan ini diurus oleh petugas yang terlibat samada dari segi keperluan dan masalah yang berkaitan. Penduduk didaftarkan terlebih dahulu sebelum diletakkan atau dimasukkan dalam sesuatu petempatan bagi memudahkan urusan dan mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini. Penduduk diletakkan mengikut keluarga dan mereka diberi tilam, bantal dan juga barangan keperluan yang lain.
Semasa menetap di dewan, penduduk dibekalkan dengan kelengkapan seperti tilam, bantal, dan tikar memandangkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan mereka. Kemudahan asas yang disediakan juga boleh dikatakan memuaskan. Tetapi masih terdapat kekurangannya kerana penduduk terutamanya wanita mengadu tidak berpuas hati dengan tandas. Dengan bilangan wanita yang lebih ramai daripada lelaki sudah pasti 2 tandas bagi satu-satu dewan tidak mencukupi. Walau bagaimanapun dari segi makanan, keselamatan, bekalan air bersih penduduk tidak menghadapi masalah.

Setiap hari penduduk dibekalkan dengan teh, kopi, gula, biskut, dan roti bagi setiap orang untuk sarapan pagi. Manakala bagi makanan tengahari dan malam penduduk diberi beras, lauk (sardin ,telur, ikan kering, daging, daging ayam, dan ikan basah), sayur dan rencah seperti minyak kelapa, kelapa parut, garam, kicap, lada kering, belacan, asam jawa, rempah, bawang merah, dan bawang putih. Malah pada awal-awalnya penduduk diberi bantuan makanan segera iaitu nasi bungkus untuk seorang berharga tidak lebih dari pada RM5.00. Boleh dikatakan keperluan penduduk yang tinggal di pusat petempatan sementara ini ditanggung dan diberikan secukupnya.

Keberkesanan dewan dijadikan sebagai tempat pemindahan banjir dapat ditonjolkan apabile rata-rata penduduk berpuas hati dengan fungsi, layanan dan perkhidmatan yang diberikan tanpa mengira bangsa dan agama.

No comments: